Celtic telah memutuskan untuk menggantung sementara Green Brigade daripada menghadiri perlawanan di stadium mereka kerana ultras tersebut sebelum ini mengibarkan bendera Palestin.

Hukuman itu berkuat kuasa untuk aksi di tempat sendiri dan di tempat lawan.

Celtic sekali lagi tidak sehaluan dengan Green Brigade dalam isu Palestin. Dan kelab dikatakan telah membatalkan pas bermusim ahli ultras Green Brigade buat sementara waktu kerana beberapa kali ingkar arahan kelab.

Sebelum ini Celtic mengeluarkan arahan agar Green Brigade tidak menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada Palestin. Kerana kelab itu berpendapat tindakan itu berbaur politik dan menyokong Hamas.

Ianya setelah Green Brigade mengibarkan bendera Palestin ketika aksi menentang Kilmarnock.

Green Brigade tidak mempedulikan amaran itu dan meneruskan hasrat mereka mengibarkan bendera Palestin ketika aksi UCL menentang Atletico Madrid.

Green Brigade membalas kenyataan kelab dengan menyatakan bahawa mereka tidak gentar dengan amaran kelab kerana mereka mahu bersolidariti untuk golongan yang teraniaya iaitu rakyat biasa di Gaza.

Green Brigade turut menyatakan bahawa mereka berhak menyatakan pendirian politik mereka sambil menegaskan bahawa tidak semua perkara mereka harus kekal neutral, misalnya untuk kekejaman dan penindasan.

Green Brigade turut melabel kelab hipokrit kerana sebelum ini menyokong tindakan penyokong mereka ketika mengibarkan bendera Ukraine. Sambil mempersoalkan: “Adakah nyawa di Palestin tidak sama nilai dengan nyawa di Ukraine?”

Green Brigade sudah lama menyokong Palestin. Kerana mereka percaya Palestin adalah golongan tertindas. Celtic menyatakan bahawa kelab itu menghormati garis panduan FIFA dan Uefa bahawa bola sepak seharusnya bebas daripada unsur unsur politik.

Celtic menyatakan bahawa Green Brigade sudah melampaui batas kerana berkali kali melanggar arahan kelab. Bermula pada 2014, di mana Green Brigade mengibarkan bendera Palestin ketika aksi menentang kelab Iceland, KR Reykjavik.

Green Brigade kemudian mengibarkan bendera Palestin ketika aksi UCL 2016 menentang kelab Israel, Hapoel Beer-Sheva – tindakan itu membuatkan Celtic didenda £8,600. Namun Green Brigade mengumpul dana sumbangan awam untuk memulangkan wang kelab. Baki daripada sumbangan itu disalurkan ke Palestin.

Kemudian beberapa lagi siri hukuman menyusul atas insiden yang sama. Namun Green Brigade sudah menyatakan bahawa mereka tak akan tunduk di atas apa yang mereka percaya betul.

Tindakan Celtic menggantung Green Brigade daripada menghadiri perlawanan itu mendapat reaksi pelbagai pihak. Ramai mengecam tindakan kelab itu.